RENUNGAN

Koleksi Ceramah Agama

Kelebihan Sedekah

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

Fadhilat Al-Quran

 

 

Atas permintaan ramai, kami akan mengadakan ruangan soal-jawab agama tentang ibadah puasa. Setiap soalan boleh dihantar melalui e-mail : lot378@tm.net.my atau ke alamat Pengelola Laman Web Ramadhan 1418H, Maktab Perguruan Sarawak, Jalan Bakam, 98009 Miri.

 

 

 

 

 

Kelebihan Sedekah

"Perumpamaan-nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan 7 tangkai, pada tiap-tiap tangkai terdapat 100 biji. Allah melipatkan gandakan ganjaran bagi sesiapa yang dia kehendaki dan Allah Maha Luas Kurniaannya dan Maha Mengetahui"

(Petikan dari Surah Al-Baqarah)

Ayat ini diturunkan tatkala Rasulullah bersiap-siap hendak keluar menuju medan perang Tabuk sambil menyeru kepada umat Islam supaya bersedekah. Seruan itu disambut oleh Abdul Rahman bin Arif dengan menyerahkan 4,000 dirham kepada Rasulullah dan berkata : "Ya Rasulullah, harta milikku hanya 8,000 dirham, 4,000 dirham aku tahan untuk diriku dan ahli keluargaku dan 4,000 dirham aku serahkan untuk jalan Allah. Allah memberkati apa yang engkau tahan dari apa yang engkau berikan pada jalan Allah." jawab Rasulullah s.a.w. Kemudian datang sahabat Usman bin Affan berkata: "Ya Rasulullah, saya akan melengkapi peralatan dan pakaian bagi mereka yang belum mempunyainya. Menurut riwayat sewaktu turun ayat ini Saidina Ali bin Abi Talib hanya memiliki 4 dirham, maka segera dia sedekahkan 1 dirham pada waktu malam, 1 dirham pada waktu siang, 1 dirham secara terang-terang dan 1 dirham secara senyap-senyap. Begitlah kisah para sahabat di dalam menyahut seruan Allah untuk bersedekah. Mereka beramal dengan ayat-ayat Allah tanpa menunggu lebih lama dan mencerminkan keikhlasan hati mereka terhadap apa yang mereka lakukan.

Tentang cara / adab bersedekah antara lain dijelaskan:-

  • Firman Allah s.w.t yang bermaksud "Bahawasanya lebih baik-lebih utama bagi kamu memberi sedekah secara diam-diam dan memberikannya kepada orang-orang fakir.
  • Firman Allah s.w.t yang bermaksud "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan sipenerima seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya' kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan Hari Kiamat.
  • Sedekah dari harta yang halal sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan barang yang baik-ertinya barang yang halal.
  • Hendaknya diberikan sedekah itu dengan wajah yang ramah, gembira dan tidak terpaksa.
  • Supaya dipilih tujuan yang tepat atau orang yang patut menerima sedekah seperti orang alim dan bertakwa, yang akan menggunakan sedekah itu untuk beribadat dan taat kepada Allah atau fakir yang soleh.

    Demikianlah Fadhilat / kelebihan ibadah sedekah di dalam kehidupan manusia, mudah-mudahan kita termasuk mereka-mereka yang sentiasa menafkahkan sebahagian dari harta yang dimiliki untuk jalan Allah. Wallahu a'alam.

    Oleh : Ustaz Mohd. Sayuti Idris

    Balik ke atas

     

    Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

    Amar ma'ruf nahi mungkar atau dalam pengertian lain bemaksud menganjurkan kebaikan dan menengah kejahatan adalah satu perintah sekaligus merupakan tanggungjawab ke atas setiap muslim.

    Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan orang-orang mukmin lelaki maupun perempuan setengah mereka wali kepada setengahnya iaitu saling menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran" Firman Allah s.w.t. ini menjelaskan kepada kita tentang tanggungjawab dan kedudukan sesama muslim di mana hendaklah saling membimbing, saling menegur dan menasihati antara satu sama lain. Begitulah sebenar konsep dan amalan hidup orang-orang yang beragama sesuai dengan apa yang disabda oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Bahawa agama kita nasihat-menasihati ". Imam Al Qurtubi dalam tafsirnya berkata: " Allah menjadikan ayat ini untuk membezakan antara mukmin dengan munafiqin." Menjelaskan lebih lanjut lagi tentang kewajiban amar ma'ruf nahi mungkar ini, Nabi Muhamad s.a.w. telah memberi satu garis panduan bagaimana cara berdakwah iaitu:

    Abu Said Alkhudri berkata: " Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapapun di antara kalin yang melihat kemungkaran, maka harus mencegah dengan kekuatan tangannya, maka bila tidak dapat, maka harus menegur dengan lidahnya dan bila tidak dapat, maka hendaknya membenci di dalam hatinya terhadap perbuatan mungkar itu dan sesungguhnya (membenci dalam hati) termasuk iman yang sangat lemah." (Hadis Riwayat Muslim).

    Melihat kepada garis panduan yang dijelaskan oleh Rasulullah ini dapat diambil kesimpulan :

    1. Kewajiban bagi setiap orang berusaha menegah sesuatu kemungkaran apabila melihatnya.
    2. Hendaklah pandai dalam menegahnya iaitu gunakan pendekatan hikmah dan pengajaran-pengajaran yang baik.
    3. Gunakan pendekatan mengikut kemampuan yang sepatutnya dan sesuai dengan kedudukan seseorang apabila menegahnya.

    Cara berdakwah ini dengan bijaksana dan pengajaran-pengajaran yang baik. Allah s.w.t. menjelaskan dalam Al-Quran yang bermaksud: "Serulah pada jalan tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan pengajaran-pengajaran yang baik dengan berdepanlah dengan mereka cara yang baik". Melihat kepada perlunya kewajiban mengajak kepada yang baik dan mencegah yang mungkar ini. Maka sebagai seseorang yang cintakan agama dan ingin melihat agar hidup kita sentiasa harmoni dan aman damai. Dengan itu hendaklah setiap orang bersikap peka dalam setiap keadaan. Janganlah hendaknya bersikap tidak mengambil kisah dengan apa yang terjadi lebih-lebih lagi perbuatan keji yang berlaku sehingga boleh merosakkan identiti umat Islam itu sendiri. Hendaknya kita saling menegur dan saling menasihati anatara satu sama lain. Yang diberi teguran hendaklah bersikap terbuka dan janganlah cepat melatah dan bersyukurlah kerana kita disedarkan oleh orang lain. Dengan jalan inilah, Insya Allah kita akan menjadi satu umat yang kuat, maju dan menjadi contoh kepada umat-umat yang lain.

    Wallahu A'lam

    Oleh Ustaz Mohd. Sayuti Idris.

    Balik ke atas

     

     

     

    Fadilat Al-Quran

    Al-Quran adalah Kalamullah. Kitab suci yang diturunkan untuk memberi petunjuk dan menyelamatkan kehidupan manusia dunia dan akhirat.

    Sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Kelebihan Al-Quran dari lain-lain perkataan, bagaikan kelebihan Allah atas mahkluknya". Allah s.w.t. menurunkan Al-Quran kepada manusia adalah untuk menyelamatkan kehidupan manusia itu sendiri. Betapa banyak kelebihan Al-Quran kepada manusia meliputi segenap bidang kehidupan manusia daripada perkara-perkara biasa hinggalah kepada yang lebih utama atau menyentuh perkara-perkara pokok dalam kehidupan manusia. Kemukjizatan Al-Quran mengatasi mukjizat-mukjizat yang lain yang pernah dianugerahkan Allah kepada Nabi-nabi yang lain. Membaca Al-Quran itu lebih afdal dari segala macam zikir yang umum yang tidak terhad oleh waktu atau tempat, sambil melihat di dalam solat, di waktu malam, pagi dan setiap masa selagi dapat menjaga batas-batas yang dapat menjaga kehormatan Al-Quran.

    Berhubung dengan fadhilat membaca Al-Quran ini, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al Hakim sabda Nabi Muhamad s.a.w. yang bermaksud: " Sesiapa yang membaca satu huruf dari ktab Allah (Al-Quran) maka ia mendapat pahala untuk setiap huruf hasanah dan setiap hasanal itu berlipat ganda 10 kali, saya tidak berkata: Alif , Lam, Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."

    Berkata Muaz bin Jabal r.a :"Berada aku bersama Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dan (minta) aku daripadanya satu hikmah atau hadis yang dapat aku gunakan. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Jika kamu menghendaki penghidupan bahagia, mati sebagai syuhada, keselamatan pada hari mashyar (Kiamat), naungan teduh di ahri panas dan hidayah -bebas dari kesesatan- Maka bacalah Al-Quran selalu kerana itu adalah firman Allah, benteng terhadap gangguan syaitan dan pemberat dalam timbangan amal."

    Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Seafdal-afdal ibadat umatku ialah pembacaan Al-Quran."

    "Sesiapa yang mangajarkan anaknya Al-Quran dengan melihat, maka diampunkan baginya dosanya yang lalu dan yang akan datang dan sesiapa yang mengajarnya dengan hafalan maka setiap anaknya itu membaca satu ayat, Allah menaikkan ayahnya satu darjat hingga akhir ayat yang diamalkannya." (Hadis riwayat At Tabrani).

    Rasulullah s.a.w. ada bersabda dalam satu hadis yang lain: "Barang siapa menghendaki bertemu dengan Allah hendaklah ia memuliakan keluarga Allah. Ditanya Rasulullah s.a.w., adakah Allah mempunyai keluarga dan siapa mereka itu. Rasulullah s.a.w. menjawab Ya! Keluarga Allah di dunia ialah mereka yang selalu membaca Al-Quran. Barang siapa memuliakan mereka, mereka dimuliakan Allah dan diberi syurga dan barangsiapa menghina mereka, mereka dihina oleh Allah dan dimasukkan ke dalam neraka. Wahai Abu Hurairah, tidak seseorang di sisi Allah lebih mulia dari penghafal Al-Quran. Dia lebih mulia dihadapan Allah dari sesiapa sahaja kecuali para nabi."

    Wallahu A'lam

    Oleh: Ust. Mohd. Sayuti Idris

    Balik ke atas